Diet untuk wanita sihat yang menyusui
Apa yang anda dan bayi anda perlukan semasa menyusui?
Sesetengah kalori yang diperlukan untuk penghasilan susu badan
dibekalkan oleh simpanan lemak badan semasa kehamilan.
Walaubagaimanapun, kalori tambahan diperlukan melebihi had pengambilan
pra kehamilan anda untuk memberikan tenaga yang secukupnya untuk
membekalkan keperluan bayi anda yang sedang membesar. Apabila anda mula mencerai susu dengan bayi anda, keperluan kalori anda akan kembali ke tahap pra kehamilan secara perlahan.
Kajian terbaru mencadangkan bahawa tambahan sebanyak 300-400 kalori
sehari sudah cukup untuk wanita yang menyusui semasa tiga bulan pertama.
Apa yang perlu saya makan?
Anggap penyusuan badan sebagai
motivasi berterusan untuk mengikuti diet yang sihat sepertimana yang
anda ikuti semasa kehamilan. Fokus ke atas pengambilan bijiran penuh
seperti nasi perang dan bijiran, buah-buahan dan sayur-sayuran segar dan
makanan yang memberikan banyak protin, kalsium dan zat besi (dan
seperti biasa, makanan ringan sekali-sekala adalah okay).
Pilih snek yang berkhasiat seperti yogurt, kekacang dan kekeras, telur
dan sandwic yang diperbuat daripada roti gandum penuh. Adalah baik jika
anda menghadkan pengambilan makanan bergoreng dan juga makanan yang
disediakan dengan minyak sapi dan santan kelapa.
Dalam
sesetengah komuniti, mungkin terdapat pantang-larang terhadap sesetengah
jenis makanan untuk bulan pertama atau 44 hari selepas kelahiran. Walau
bagaimanapun, pakar-pakar tetap mengatakan bahawa anda tidak perlu
menghadkan diet anda kecuali bayi anda menunjukkan tanda-tanda sensitif
selepas menyusu.
Minum banyak air untuk mengekalkan bekalan susu anda
Pastikan anda minum banyak air – lapan sehingga 12 gelas air sehari
adalah mencukupi. Untuk kepelbagaian, anda boleh pilih jus buah-buahan
atau sayur-sayuran, air kurma merah, susu soya tiada gula dan minuman
dadeh. Ini akan membantu badan anda untuk menghasilkan susu yang
diperlukan oleh bayi anda.
Berjaga-jaga dengan apa yang anda makan dan minum
Dalam sesetengah budaya, seorang ibu yang baru melahirkan anak
selalunya digalakkan untuk makan makanan istimewa yang dianggap lebih
berkhasiat. Dalam keluarga Cina yang lebih tradisional, sup akan
ditambah dengan brandi atau wain Cina dengan jumlah halia dan minyak
bijan yang banyak. Dalam komuniti yang lain, biji lada, herba dan rempah
tradisional diambil untuk "memanaskan" badan. Semua ini, jika diambil
berlebihan, akan sampai ke bayi anda melalui susu badan anda. Sila
beringat bahawa bahan seperti kafein, alkohol dan toksin lain boleh
meresap ke susu badan anda, jadi anda perlu mengelak dari memakannya
secara berlebihan.
Nikotin dari rokok dan ubat juga boleh
masuk ke dalam susu badan anda dan perlu dielakkan (doktor anda boleh
menasihatkan anda mengenai kesesuaian ubat-ubat tertentu bagi rawatan).
Anda boleh mengetahui jika anak anda sensitif kepada sesuatu yang anda
makan atau minum kerana dia akan menunjukkan ketidakselesaannya dengan
menjadi resah selepas menyusu, menangis tidak boleh ditenangkan atau
tidak lena tidur. Jika bayi anda alah kepada sesuatu yang anda makan,
anda boleh lihat reaksi pada kulitnya (ruam atau gatal-gatal), dalam
pernafasannya bunyi berdehit atau kesesakan), atau dalam najisnya (warna
hijau atau bermukus). Hubungi pakar pediatrik anda untuk nasihat
lanjut.
Sesetengah wanita tahu bahawa makanan berempah atau
pedas akan memberi masalah kepada bayi mereka, jadi proses mencuba
adalah panduan terbaik anda sebab makanan yang merangsang keadaan tidak
selesa berbeza dari satu bayi ke bayi yang lain. Jika anda boleh makan
ayam halia atau sayur kari pedas tanpa membawa masalah kepada bayi anda,
makanlah. Sebagai satu peringatan kepada anda – beberapa punca
kolikyang biasa ialah brokoli, kubis, bawang dan kubis Brussels.
Dapatkan zat besi yang banyak
Jika anda mengambil vitamin tambahan semasa anda hamil, anda tidak
perlu mengambilnya lagi selepas kelahiran bayi anda. Walau bagaimanapun,
anda mungkin memerlukan zat besi tambahan. Ramai wanita telah
mengurangkan simpanan zat besi mereka semasa tahun-tahun subur mereka.
Tanyalah pakar obstetrik, doktor keluarga atau GP anda untuk mendapat
nasihat. Jika anda terus mengambil vitamin tambahan, ingatlah bahawa itu
tidak boleh menggantikan habit pemakanan yang tidak baik. Berusahalah
untuk mengambil diet yang seimbang dan pelbagai.
Bagaimana dengan diet semasa menyusui?
Kurangkan berat badan secara perlahan dengan menggabungkan diet sihat
yang rendah lemak dengan senaman ringan. Penurunan berat badan yang
cepat akan membahayakan bayi anda sebab mungkin ini membebaskan toksin -
yang selalunya disimpan dalam lemak badan – ke dalam aliran darah,
justeru meningkatkan jumlah pencemar yang akan masuk ke dalam susu badan
anda.
Sebagai tambahan, penyusuan juga membantu membakar
lemak yang terkumpul semasa kehamilan dan digunakan untuk menghasilkan
susu. Seorang ibu yang menyusui membakar lebih banyak kalori daripada
yang tidak menyusui. Ini bermakna wanita-wanita yang menyusui boleh
turun berat 0.5 kg /1 paun sebulan, hanya kerana penggunaan tenaga yang
diperlukan untuk menghasilkan susu.
Adalah baik menunggu 10
bulan sehingga setahun untuk kembali kepada berat pra-kehamilan anda.
Jika anda mahu mengurangkan sedikit pengambilan makanan anda, tunggu
sehingga sekurang-kurangnya enam minggu selepas kelahiran bayi anda.
Menghadkan pengambilan makanan anda pada minggu awal laktasi akan
mengurangkan bekalan susu anda.
SUMBER : Page Fb : www.mumdreams.com.my
No comments:
Post a Comment