Tuesday 18 November 2014

URAT SIMPUL (VENA VARIKOS ) SEMASA HAMIL

URAT SIMPUL (VENA VARIKOS )

Apa itu urat simpul?

Anda mungkin pernah melihat sesetengah orang mempunyai salur darah berwarna ungu atau biru yang kelihatan nyata pada kaki mereka. Inilah urat simpul (vena varikos). Ia lebih banyak berlaku pada wanita berbanding lelaki. Urat simpul biasanya kelihatan pada kaki, betul-betul di bawah kulit, tetapi ia juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan anda.


Salur darah atau vena mempunyai injap yang menghalang darah yang sedang menuju ke jantung daripada mengalir secara mengundur. Urat simpul berlaku apabila injap ini tidak berfungsi dengan betul dan dinding salur darah menjadi lemah. Darah terkumpul di tempat yang lemah ini. Apabila ini berlaku, dinding salur darah itu mula meregang dan kendur, salur darah itu sendiri membengkak dan anda boleh melihatnya di bawah kulit.

Urat simpul berlaku kepada kira-kira satu dalam tiga wanita. Anda lebih berkemungkinan mengalaminya jika ia berlaku pada ahli keluarga yang lain atau jika berat badan anda berlebihan.

Mengapakah urat simpul berlaku pada kaki saya?
Bayi anda yang sedang membesar, plasenta (uri) dan uterus (rahim) anda menekan salur darah pada bahagian pelvik anda. Ini termasuklah salur darah besar (vena kava inferior) pada bahagian kanan badan anda.


Salur darah utama ini terpaksa bekerja keras. Ia menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah dan kebanyakan organ dalam pelvik dan perut. Tekanan yang diterima oleh vena kava inferior membuatkan lebih sukar bagi darah dari kaki anda untuk pulang ke jantung.

Pada masa yang sama, terdapat lebih banyak darah mengalir di seluruh badan anda ketika ini dan hormon progesteron pula merelakskan dinding salur-salur darah ini.

Kesemua ini membawa maksud salur darah pada kaki anda lebih berkemungkinan untuk membengkak. Urat simpul adalah biasa dalam kehamilan, tetapi ia akan beransur baik selepas anda bersalin.

Adakah urat simpul boleh berlaku pada bahagian badan yang lain?
Anda lebih berkemungkinan mengalami urat simpul di kaki anda, tetapi ia juga boleh berlaku di bahagian-bahagian tubuh yang lain. Buasir ialah sejenis urat simpul yang berlaku di bahagian dubur dan merupakan perkara biasa dalam kehamilan.


Kira-kira empat peratus wanita hamil mengalami urat simpul pada bahagian dalam dan di sekeliling faraj mereka. Masalah ini biasanya pulih sendiri selepas mereka bersalin.


                                         CONTOH URAT SIMPUL DI KAKI..GAMBAR DARI GOOGLE


Apakah simptom-simptom urat simpul?
 
Selain daripada kelihatan sangat tidak menarik, urat simpul boleh mengakibatkan simptom-simptom lain yang tidak menyenangkan, termasuk:

- kegatalan dan rasa tidak selesa pada kulit di mana urat simpul berlaku;
- bengkak tapak kaki dan buku lali;
- kejang otot pada waktu malam;
- lenguh kaki dan kaki terasa berat.


Jika simptom-simptom ini agak teruk atau menyebabkan anda berasa sangat tidak selesa, mintalah bantuan daripada doktor anda.
KREDIT TO BABYCENTER.COM

No comments: